Saya akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Tetapi, pelbagai persoalan bermain di fikiran saya sekarang ini, terutamanya apabila memikirkan hal-hal yang berkaitan dengan kelahiran anak. Jika saya dikurniakan anak secepat mungkin, saya amat bersyukur. Tetapi, kadangkala saya bimbang jika anak yang Bakal dilahirkan itu mengalami kekurangan. Ini kerana, dalam keluarga saya, ada anak saudara yang mengalami masalah sejak dilahirkan dan akhirnya meninggal dunia. Kami sangat sedih dengan pemergian anak saudara saya itu. Buat pengetahuan doktor, anak saudara saya itu mengalami masalah hidrosefalus (berkepala besar kerana lebihan air). Apakah yang menyebabkan keadaan seumpama itu dan bagaimanakah cara mengelakkannya? Saya harap doktor dapat membantu melenyapkan kebuntuan saya ini.
Jawapan
Hidrosefalus adalah keadaan apabila cairan serobrospina berlebihan di dalam otak dan boleh menyebabkan kepala menjadi lebih besar daripada normal. Keadaan ini lazimnya dapat dikesan semasa pemeriksaan ultra bunyi pada janin semasa ibu hamil. Jika ada masalah hidrosefalus pada janin, pemeriksaan bunyi ultra terperinci perlu dilakukan bagi memastikan tidak ada kecacatan lain pada janin itu.
Kecacatan lain adalah seperti spina bifida (kecacatan tiub neural) pada tulang belakang ataupun masalah pada ginjal (sindrom Meckel). Ujian amniosintesis juga diperlukan bagi mengesan jika ada keadaan yang disebabkan oleh masalah kromosom. Selain itu, jangkitan toksoplasmosis, rubela, sitomeglovirus dan herpes (TORCH) semasa ibu hamil juga boleh menyebabkan janin mengalami hidrosefalus.
Kecacatan hidrosefalus tanpa masalah lain jarang berlaku. Masalah lain itu yang berkemungkinan menyebabkan saluran akueduk tersumbat dan seterusnya menyebabkan cairan terkumpul di dalam otak. Oleh kerana jangkitan virus rubela semasa hamil boleh menyebabkan kecacatan janin seperti hidrosefalus, suntikan rubela perlu diambil oleh wanita yang tidak mempunyai antibodi melawannya sebelum hamil. Saudari boleh melakukan ujian darah bagi mengetahui status antibodi sebelum mengambil suntikan. Ujian ini dibuat kerana kebanyakan remaja sudah diberi suntikan rubela semasa zaman persekolahan dan mungkin tidak perlu disuntik lagi.
Elakkan bermain dengan kucing ataupun membersihkan najisnya, berkebun ataupun mengambil daging yang tidak dimasak dengan baik seperti stik yang dimasak separuh mentah semasa hamil. Langkah ini boleh mengelakkan daripada jangkitan toksoplasmosis. Ibu hamil perlu menggunakan sarung tangan jika masih ingin berkebun ataupun memotong daging yang mentah. Lazimnya, parasit toksoplasma wujud di tempat yang dinyatakan tadi.
Saudari dinasihatkan berjumpa doktor sebelum hamil bagi menghilangkan kerisauan dan lebih baik apabila makiumat lanjut berkenaan masalah anak saudari dapat dibincangkan dengan doktor pada masa itu. Besar kemungkinan masalah ini ada kaitan dengan saudari dan dengan izin Tuhan saudari akan hamil dan melahirkan anak yang normal. Semasa hamil antara 18 hingga 20 minggu, pemeriksaan ultra bunyi terperinci dilakukan bagi memastikan janin adalah normal dan mengesan kecacatan jika ada.
Pemeriksaan ini sedikit sebanyak dapat menenangkan perasaan ibu yang risau. Berdoa selalu kepada Tuhan supaya dikurniakan anak yang soleh, normal dan sihat. Ingatlah, manusia hanya boleh berusaha dan Allah yang menentukan.
Pustaka
Soal Jawab Kehamilan Oleh Fauziah binti Mohd Hasan
Tidak ada komentar:
Posting Komentar